Memahami jiwa generasi digital

APAKAH kecenderungan jiwa generasi muda?

Antara lain, ia terpapar pada jualan telefon bijak iPhone 4 bermula di Singapura pada tengah malam Jumaat 30 Julai lalu. Tiga tempat di Singapura yang melancarkan jualan iPhone ini dikunjungi peminat digital yang beratur panjang seawal 4 petang di pusat beli-belah Paragon, Plaza Singapura dan Marina Bay Sands. Di sebalik laporan luas mengenai beberapa kecacatan iPhone 4, semangat para peminat digital tidak tergugat. Ada yang datang dengan bapa dan sahabat handai.

Seorang peminat dalam lingkungan 20-an memberitahu bahawa beliau terpaksa bekerja pada 8 pagi berikutnya dan hanya tidur seketika memandangkan barisan pembeli yang begitu panjang. Namun, beliau berasa gembira dan kelihatan teruja. Dalam temu ramah yang lain, seorang peminat memberitahu beliau mengambil cuti bagi hari berikut. Selepas pulang beliau tidak tidur tetapi memastikan telefon bijaknya siap dipasang agar aplikasi digital daripada Apple Store boleh dimuat turun.

Ada warga Internet (netizen) yang meninggalkan pesanan bahawa banyak klip Bollywood boleh dimuat turun secara percuma menerusi telefon bijak ini. Ramai netizen pula kesal dengan sikap yang tidak sabar-sabar untuk mendapatkan iPhone 4. Mereka menyamakan barisan ini seperti sindrom barisan Hello Kitty (cenderamata McDonald’s) yang pernah menjadi pujaan ramai pada suatu masa dahulu. Selain iPhone, kemaruk permainan digital StarCraft siri kedua yang bernama Wings of Liberty turut ketara di sini, terutama di barisan panjang di Funan Centre.

Kerana sokongan setempat, sebuah pemancar digital untuk pemain komputer di Singapura telah dilancarkan agar laluan Internet yang lebih laju dapat mendatangkan kepuasan semasa berinteraksi di alam maya. Sebanyak 100,000 peminat mendaftarkan diri untuk perkhidmatan tersebut. Mereka memang boleh dikatakan sebahagian daripada generasi digital tempatan. Permainan ini juga mendaftarkan akaun untuk pengguna menara gading seperti Princeton, Rutgers dan Stony Brook di Amerika Syarikat. Bagaimanapun peminat terbesar datang dari Korea Selatan. Jualan permainan komputer juga terus memukau peminat di beberapa negara lain di Asia seperti Hongkong yang menyaksikan seorang peminat permainan ini beratur enam hari lebih awal sebelum penjualan permainan.

Ramalan bahawa benua Asia akan menjadi pusat generasi digital tidak dapat dinafikan. Sama ada telefon digital seperti telefon bijak mahupun mesin digital yang lebih canggih seperti iPad dan permainan komputer, peminat Asia tidak pernah ketinggalan untuk mendapatkannya. Pernah ada pandangan pakar kaji hari muka (futurologis) dan pakar pendidikan bahawa generasi digital hanya konsep rekaan syarikat komersial. Ia kini suatu realiti.

Tetapi apakah kesannya kepada pemerintah terutama ketika pengundian dan mendapatkan sokongan generasi muda? Ini persoalan berat kerana mungkin ada ‘pesona’ digital yang membuat generasi muda tidak berjejak ke bumi kerana keseronokan melayani kegemaran mereka. Mereka dikhayalkan dengan permainan dan keasyikan menggunakan alat digital. Hal sedemikian memerlukan kajian kerana sedang digital dianggap penentu maju gagal sesebuah negara, ia juga boleh menimbulkan masalah sosial yang baru.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s