The Malay text of Singapore National Day Rally (for learning purposes)

PRIME MINISTER LEE HSIEN LOONG’S NATIONAL DAY RALLY 2011 (SPEECH IN MALAY), SUNDAY, 14 AUGUST 2011 AT UNIVERSITY CULTURAL CENTRE, NATIONAL UNIVERSITY OF SINGAPORE

Saudara-saudari sekalian.

1.        Negara kita Singapura telah menempa pertumbuhan yang baik sepanjang beberapa tahun lalu. Kita berjaya harungi krisis kewangan yang serius, kembangkan ekonomi, kekalkan pekerjaan dan merubah bandar raya kita. Inilah Rapat Hari Kebangsaan kita yang pertama selepas Pilihan Raya Umum. Kita harus tetapkan hala tuju bagi Singapura untuk lima tahun akan datang.

2.        Tugas kita jelas. Banyak lagi negara masih belum keluar dari kesan kemelesetan ekonomi sejak 2009.  Kita dapat keluar dengan cepat tetapi perlu terus kembangkan ekonomi untuk baiki kehidupan kita semua, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi dunia yang masih tidak menentu.

3.        Kita perlu didik warga muda Singapura untuk pekerjaan dan peluang-peluang bagi masa depan. Kita perlu bersiap sedia untuk hadapi masyarakat yang semakin tua dengan membaiki khidmat perubatan dan jaringan keselamatan sosial. Kita perlu dampingi lebih banyak kumpulan berbeza dalam masyarakat untuk membina Singapura secara bersama. Kita perlu bersatu hati untuk membina masa depan lebih baik bagi semua rakyat Singapura.

4.        Pada masa yang sama, pemerintah akan tangani masalah-masalah yang timbul sepanjang beberapa tahun ini. Kami sedang bina lebih banyak flat HDB agar pasangan muda akan dapat flat mereka dengan lebih cepat lagi. Kami sedang pertingkat pengangkutan awam dengan membina lebih banyak laluan MRT yang baru dan membaiki perkhidmatan bas. Kami sedang awasi kemasukan pekerja asing dan golongan pendatang agar rakyat Singapura akan merasa lebih selesa di negara kita sendiri. Hasilnya akan mengambil masa, tetapi kita sedang membuat kemajuan.

5.        Masyarakat Melayu berkongsi penuh kebimbangan nasional ini dan menyumbang kepada huraiannya. Ini mencerminkan kejayaan masyarakat Melayu berintegrasi dengan arus nasional. Para pemimpin politik, masyarakat dan agama bekerjasama erat, menetapkan nada yang betul dan membina hubungan dan persefahaman antara masyarakat. Masyarakat Melayu Singapura berjaya membuktikan menjadi orang Islam yang baik tidak bercanggah dengan menjadi warga Singapura yang baik. Kita sudah tingkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama dalam menangani isu-isu sensitif. Semua kumpulan memahami keperluan untuk bersefahaman dan bertolak ansur sambil menyesuaikan diri dalam masyarakat kita yang berbilang kaum.

6.        Satu lagi sebab masyarakat Melayu menjadi lebih bersifat nasional ialah orang Melayu telah membangun sama dan berkongsi dalam kejayaan Singapura. Semua peringkat menyaksikan peningkatan, dari tahun ke tahun. Di peringkat teratas, walau golongannya masih kecil, semakin ramai orang Melayu yang mencapai kecemerlangan dalam kerjaya dan bidang lain. Mereka berjaya dapatkan anugerah biasiswa, cemerlang dalam peperiksaan kebangsaan, dan sandang jawatan penting dalam sektor awam dan swasta. Kita semua bangga dengan pencapaian mereka.

7.        Saya sokong penuh segala usaha ibu bapa Melayu untuk membimbing anak-anak mereka agar berjaya, dalam ertikata yang luas dan dalam pelbagai bidang. Saya mahu melihat lebih ramai warga muda Melayu merebut peluang dan maju jaya. Ini perlukan kerja keras, tetapi anda telah buktikan bahawa anda pun boleh mencapainya.

8.        Pemerintah akan terus wujudkan peluang bagi semua rakyat Singapura untuk cemerlang. Kita akan terus buka peluang bagi orang Melayu untuk berkhidmat kepada negara. Masyarakat Melayu harus menyumbang dan mengambil bahagian sepenuhnya dalam pembangunan dan kemajuan Singapura.

9.        Sedang anda fokus tentang isu nasional, anda juga prihatin dengan beberapa isu tertentu dalam masyarakat Melayu. Beberapa cabaran baru timbul daripada kemajuan masyarakat Melayu sendiri. Sebagai contoh, sedang orang Melayu menjadi lebih berkelayakan, dan memegang lebih banyak jawatan kanan, mereka semakin perlu untuk bersaing di peringkat global, bukan setakat di Singapura. Isu-isu lain timbul daripada perubahan dalam masyarakat kita, termasuk kebimbangan mengenai kesan daripada kehadiran pekerja asing dan golongan pendatang ke atas masyarakat Melayu. Selain itu, terdapat isu-isu lama yang sedang kami cuba atasi, seperti keluarga-keluarga yang hadapi masalah kewangan dan kehilangan flat HDB mereka. Saya fahami kebimbangan ini, dan kita akan terus menanganinya bersama.

10.     Skim Subsidi Yuran Pengajian Tinggi (TTFS) adalah satu lagi contoh isu yang timbul daripada kemajuan masyarakat Melayu. Hari ini, lebih ramai pelajar Melayu masuk universiti dan politeknik, dan lebih ramai dibantu oleh skim itu. Baki dana tidak disimpan oleh pemerintah. Sebaliknya, ia digunakan oleh Mendaki untuk membiayai program pembangunan masyarakat Melayu.

11.     Namun, kriteria pendapatan untuk bantuan TTFS tidak berubah sejak skim itu diperkenalkan 20 tahun yang lalu. Berdasarkan keadaan sekarang, beberapa keluarga Melayu yang perlu membayar yuran mungkin tidak boleh dianggap berkemampuan. Beberapa keluarga mungkin mempunyai lebih daripada seorang anak yang belajar di institusi pengajian tinggi, dan yurannya mungkin membebankan mereka. Dr Yaacob mencadangkan agar semakan dijalankan. Saya bersetuju dengan beliau. Jadi, Pemerintah akan kaji masalah ini dengan Mendaki dan masyarakat Melayu, dan semak semula kriteria kelayakan pendapatan TTFS agar dapat meliputi lebih ramai keluarga. Tetapi prinsip utamanya akan kekal, iaitu pelajar-pelajar Melayu dari keluarga miskin menikmati pendidikan percuma, manakala mereka yang lebih senang perlu membayar yuran.

12.     Satu lagi isu yang menjadi keprihatinan masyarakat Melayu adalah usaha mengekalkan warisan di tengah-tengah pembangunan pesat. Sekarang ini bulan Ramadan, Geylang Serai sibuk dengan bazar Hari Raya. Orang Melayu mempunyai talian emosi yang mendalam terhadap Geylang. Mereka yang lebih tua mungkin pernah tinggal dan bermain di situ, dan mempunyai banyak kenangan manis mengenai semangat kehidupan kampung. Bak kata pepatah: Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

13.     Kita ada sebuah “Kampung Melayu” di Geylang. Tempoh pajakannya akan tamat tidak lama lagi. Pemerintah merancang untuk bangunkan sebuah pusat sivik dan plaza yang baru di sebahagian tapak itu. Nama sementara bagi pusat ini ialah Wisma Geylang Serai. Ia akan menempatkan Kelab Masyarakat Geylang Serai, dan sebuah galeri warisan untuk mengingatkan kita tentang kawasan Geylang Serai yang lama.

14.      Kami juga akan tingkatkan kejiranan sekeliling dengan reka bentuk dan sentuhan seni bina Melayu, terutamanya di sepanjang Geylang Road. Sedang Geylang dipermoden dan dinaik taraf, kita akan kekalkan sentuhan dan ciri-ciri Melayu dan tempatnya yang istimewa di hati anda. Dr Maliki Osman akan memantau projek ini.

Saudara-saudari sekalian,

15.     Masyarakat Melayu mencatat banyak pencapaian. Anda selesa berintegrasi dalam masyarakat kita yang berbilang kaum, capai kemajuan yang besar dan pada masa sama mampu hayati dan kekalkan warisan dan tradisi anda. Anda sememangnya sebuah Masyarakat Cemerlang yang boleh dijadikan contoh kejayaan, sebagai sebuah masyarakat minoriti Islam yang sederhana dan maju bersama-sama negara.

16.     Para pemimpin masyarakat, badan-badan Melayu/Islam, serta anda semua, saya ingin mengajak anda untuk terus bekerja dengan saya dan pasukan saya, terutama Anggota Parlimen Melayu. Bersama-sama, kita boleh tangani isu-isu negara dan masyarakat, dan menjamin masa depan kita semua.

17.     Terima kasih dan selamat meneruskan ibadat puasa!

 

 

Source:  http://www.pmo.gov.sg/content/pmosite/mediacentre/speechesninterviews/primeminister/2011/August/Prime_Minister_Lee_Hsien_Loongs_National_Day_Rally_2011_Speech_in_Malay.html

Accessed on 15 Aug. 2011

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s